Thursday, October 30, 2008

MENANGANI "GENDER JADIAN"

Menangani 'gender jadian'
Oleh AHMAD ZAKI ISMAIL

ISU kecelaruan gender atau jantina nampaknya menjadi menjadi fokus utama dalam perbincangan umum ketika ini. Ia mungkin lanjutan daripada keputusan Majlis Fatwa dalam persidangannya di Kota Bharu pada 24 Oktober 2008 lalu yang memfatwakan pengharaman tingkah laku pengkid yang agak kerap kedengaran kebelakangan ini. Sebelum ini, golongan gender keliru telah menyembunyikan sifat mereka kerana masyarakat tradisional yang kukuh dengan jati diri dan komitmen agama yang tinggi menekannya daripada terdedah pada khalayak. Kini ia bukan sahaja sudah semakin terdedah tetapi semakin berani ditonjolkan pada khalayak sehingga seakan-akan sudah menjadi trend baru yang menyongsang kepada asal usul manusia yang hakiki.

Meskipun ada yang menilai kumpulan ini secara positif, tetapi dominasi pemikiran liberal berkenaan tidak didokong oleh landasan agama. Malah tidak ada agama yang menghalalkan perbuatan golongan 'tiruan' ini kerana Allah telah melaknat mereka seperti mana yang ditunjukkan dengan jelas dalam al-Quran mengenai kaum Luth yang tercatat pada 85 ayat dalam 12 surah di antaranya surah "Al-Anbiyaa" ayat 74 dan 75, surah "Asy-Syu'ara" ayat 160 sehingga ayat 175 , surah "Hud" ayat 77 sehingga ayat 83 , surah "Al-Qamar" ayat 33 sehingga 39 dan surah "At-Tahrim" ayat 10. Berbeza dengan kumpulan 'jadian', Islam mengiktiraf gender khusus secara alamiah yang disebut sebagai 'khunsa' yang dari bahasa Arabnya bermaksud 'lembut'. Tetapi dalam konteks ini istilah berkenaan ditafsir lebih meluas sebagaimana yang tercatit dalam Kamus Dewan, pondan ialah lelaki yang memiliki sifat perempuan atau sebaliknya (perempuan yg memiliki sifat lelaki). Dalam bahasa Indonesia dinamakan banci atau waria. Oleh itu, pengkid juga termasuk dalam kategori yang sama dengan pondan yakni menyerupai dengan gender yang berbeza.

Menurut syara'; khunsa ialah seseorang yang diragui seksnya (jantinanya) sama ada kedua-dua alat kelamin, tiada langsung atau ada alat kelamin lelaki tapi batinnya perempuan atau sebaliknya. Menurut Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, Fatwa Darul Ifta', ada dua jenis khunsa: khunsa ghayr musykil (khunsa yang senang ditentukan kecenderungan seksnya dan khunsa musykil (yang sukar ditentukan). Jika khunsa yang ghayri musykil, maka status wudhu' dan ibadahnya menyerupai kaum yang ditentukan (sama ada lelaki atau wanita). Jika khunsa itu sudah disahkan perempuan maka batallah wudhu' jika bersentuhan dengannya. Manakala penetapan posisi mereka dalam solat sudah ditetapkan oleh Jumhur yang menyatakan bahawa khunsa mesti berada di barisan ketiga selepas dewasa, kanak-kanak lelaki dan khunsa, selepas itu baru wanita (alMughny, 2/42), berdasarkan hadis umum daripada Abu Daud, Sunan, 1/181.
Psikologi Oleh itu, selain daripada golongan yang disebutkan dan diiktiraf dalam agama dengan alasan lain seperti psikologi, putus cinta, patah hati, desakan sosial, pengaruh kawan serta persekitaran dan sebagainya maka mereka ini sebenarnya adalah kumpulan 'jadi-jadian'.
Kumpulan inilah yang patut diberikan perhatian sewajarnya dan perlu dibanteras supaya tidak menimbulkan kecelakaan kepada peradaban manusia sejagat.

Kelakuan songsang mereka bukan sahaja menimbulkan malapetaka dan penyakit bahkan akan meruntuhkan struktur sosial semula jadi di mana dalam keluarga tidak lagi wujud ibu dan bapa.
Ini tentulah amat membahayakan keturunan serta kesinambungan zuriat yang tidak mungkin terhasil dan berterusan sebab kelahiran anak-anak adalah mustahil hasil hubungan luar tabii ini.
Malangnya, masyarakat masa kini seolah-olah bukan sahaja menghalalkan percambahan kumpulan ini tetapi seperti menggalaknya untuk diterima dan diperakui sebagai sebahagian daripada masyarakat berasaskan prinsip toleransi dan kebebasan hak asasi individu. Sikap inilah yang menyuburkan lagi penularan gejala buruk berkenaan. Sudah tiba masanya kita melihat perkara ini secara serius dan mengambil tindakan bagi membendungnya sebagaimana kita membanteras gejala-gejala negatif seperti dadah, rompak dan lain-lain jenayah. Kerana tindakan kumpulan ini sebenarnya adalah lebih buruk daripada jenayah biasa kerana mereka sebenarnya merupakan penjenayah sosial dan agama yang bakal meruntuhkan struktur ketamadunan manusia di muka bumi ini.

Ada yang menyarankan pendekatan berhemah dengan menggunakan teknik kaunseling dan nasihat dalam menanganinya. Tetapi, tindakan perundangan termasuk menyediakan akta khusus berkaitan tingkah laku ini dan penalti yang setimpal juga mesti diwujudkan. Malah ia amat penting dalam membantu proses penguatkuasaan agar kumpulan ini tidak mudah terlepas apabila tindakan penguatkuasaan ingin dilaksanakan terhadap mereka. Adalah melucukan, malah menyakitkan hati apabila mereka sering terlepas daripada sebarang tindakan kerana tidak wujud sebarang akta khusus yang boleh mensabitkan mereka dengan pelbagai perlakuan termasuk menculik, berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai dan seumpamanya. Dengan itu, mereka ini akan bertindak lebih berani kerana seolah-olah terlepas daripada tindakan dan kalis undang-undang. Kita perlu bersikap lebih adil kepada pihak berkuasa yang seperti tenggelam punca apabila berhadapan dengan situasi tidak diundang bila berhadapan dengan kumpulan ini akibat kekurangan kuasa. Adalah menjadi kewajipan kepada kita semua melengkapkan mereka agar mudah bertindak membendung gejala ini.

Kewujudan akta khusus ini bukan sahaja boleh dijadikan alat bagi membanteras gejala berkenaan, tetapi pada masa yang sama mampu mengekang perkembangan fenomena terbabit dan berupaya mempamerkan kesungguhan kerajaan dalam mengatasinya. Ini turut memberikan amaran, menggerun dan menjauhkan individu lain supaya tidak terjebak dalam arus yang serupa. Masa berpolemik sepatutnya tidak berlanjutan lagi. Ia perlu diterjemahkan dengan tindakan kerana kelihatan dengan jelas bahawa ancaman ini bukan bersifat terpencil lagi. Ia boleh dilihat di mana-mana sahaja, pada sebarang ketika dan boleh menimpa kepada sesiapa sahaja tanpa mengira status pangkat, strata sosial mahupun kedudukan ekonomi, bangsa atau agama.

Ancaman

Semua pihak mesti menunjukkan satu sikap yakni tidak bertolak ansur, membenci, menolak malah menghalang segala tindak tanduk dan ancaman kumpulan penjenayah sosial dan agama ini daripada terus berleluasa. Kita mesti katakan tidak kepada 'gender jadian' yang sudah menjadi barah dalam masyarakat kini. Tindakan serta merta mesti dilaksanakan mengikut kuasa yang sudah sedia ada dimiliki sementara menanti satu akta khusus terhadap golongan ini. Apa sahaja atau di mana sahaja mereka bercambah maka menjadi kewajipan kepada masyarakat yang berada di sekeliling untuk membasmi, mencegah, memantau dan menyalurkan maklumat supaya kita tidak lagi ditimpa musibah dan kemurkaan Allah sebagaimana yang ditimpa kepada kaum Nabi Luth dahulu. Kita khuatir dan takut kerana jikalau ia tidak dicegah secara bersungguh-sungguh dan masih dipandang remeh maka seolah-olah kita meredakan dan menghalalkan perbuatan mungkar yang amat besar dosanya ini.
Maka akan sampai satu ketika bila kita tersedar rupanya sudah terlewat untuk bertindak. Ketika itu tidak ada apa lagi yang mampu dilakukan dan tunggu sahajalah masa kehancuran yang bakal tiba.

No comments: