Thursday, October 30, 2008

KECELARUAN PEMIKIRAN CINTA REMAJA

Kecelaruan pemikiran cinta remaja
Oleh ZULKIFLI JALIL dan SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM(WARTAWAN UTUSAN)

SUDAH semestinya ucapan penghargaan dan tahniah diberikan kepada Pengerusi Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim kerana berjaya mengembalikan Noor Fadilah Ahmad, 18, ke pangkuan keluarganya. Meskipun tidak ternampak tanda penyesalan di raut wajah gadis itu sebaik sahaja tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Lombok, Indonesia, tengah malam kelmarin, namun usaha dan komitmen Abdul Azeez seharusnya dihargai. Dengan kebolehan perhubungan awam yang baik, mudah mesra dan komited, Abdul Azeez bukan sahaja mencantumkan semula ikatan satu keluarga yang terpisah malah berjaya mengelakkan Noor Fadilah menghadapi dakwaan di mahkamah republik itu yang hukuman menanti dipenjarakan enam tahun atau denda 30 juta rupiah. Mungkinkah Noor Fadilah insan terakhir yang dibawa pulang oleh sekretariat diketuai Abdul Azeez atau pertubuhan- pertubuhan lain yang prihatin dengan nasib anak gadis Malaysia yang dilarikan atau sebenarnya melarikan diri mengikut teman lelaki sama ada ke Indonedia, Pakistan atau negara lain.

Kalau itu telahannya, penyelamatan ini tidak boleh dipersalahkan kerana berapa ramai anak gadis Melayu yang perlu diselamatkan, kos dan risiko yang perlu dihadapi, seperti mana berjaya diredakan Abdul Azeez ketika berdepan dengan tentangan ibu Nasrudin, teman lelaki Noor Fadilah di Lombok. Bagi pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Asmawati Desa, remaja khususnya gadis menganggap cinta seumpama satu 'penghargaan' buat mereka. Jika sebelum ini mereka hanya mengerti tentang cinta kepada ibu bapa dan adik beradik, namun peralihan daripada era kanak-kanak ke alam remaja mengubah tafsiran tersebut. "Bila baligh berlaku, perkembangan seksual pun menyusul. Permulaan baligh bagi anak gadis bermula seawal usia sembilan tahun dan waktu inilah bermula kronologi cinta," katanya kepada Utusan Malaysia. Asmawati mengingatkan, alam remaja begitu mencabar. Proses peniruan berlaku. Dalam aspek ini, ibu bapa berperanan penting untuk menentukan siapa kawan-kawan si anak, jenis majalah yang dibaca dan drama televisyen yang ditonton. "Anak saya mengeluh bila menonton babak si Bawang Putih mempunyai anak luar nikah. Macam mana gadis sebaik itu boleh berperilaku sedemikian.

"Tambah saya terkejut lagi apabila drama ini diulang tayang. Bagi golongan remaja, proses peniruan ini begitu kuat, misalnya Siti Nurhaliza pakai jenis syampu ini, Mawi makan maggi, semua ini akan ditiru," ujar Asmawati yang khuatir dengan kebanjiran drama-drama negara seberang dan Mexico di televisyen Malaysia. Katanya, pergaulan remaja ketika ini cukup menggusarkan. Apa yang dilihatnya sekumpulan remaja yang bercium di khalayak ramai serta melakukan perlakuan tidak senonoh di pub-pub semasa meneruskan pengajian di England pada 1986, sudah menular ke sini. "Anda lihat dalam komuter menghala ke UKM saban hari, pasti akan ada remaja yang berperangai demikian. "Bagi saya peringkat remaja ini seumpama storm dan stress. Pemikiran bercelaru dan terumbang-ambing serta perlukan bimbingan kuat ibu bapa," katanya. Nada sama turut diluahkan oleh Presiden Malaysian Association of Profesional Speakers, Prof. Datuk Dr. Sheikh Omar Sheikh Abdul Rahman bahawa anak muda era ini lebih terarah kepada elemen 'tepuk dada tanya selera'. Yakni, hanya mengikut kehendak dan keseronokan tanpa memikirkan akibat dan kesannya.

"Mereka tidak cerdik untuk buat keputusan sendiri dan tidak ada wawasan. Tepuk dada tanya selera sebenarnya hanya sekadar wake-up call sedangkan mereka perlu melihat dari segi minda, ilmu dan ihsan yang meliputi kebaikan kepada ibu bapa dan alam sekeliling. "Kekuatan dalaman juga penting di samping kekuatan rohani untuk memberi petunjuk arah kepada kehidupan," katanya. Sheikh Omar yang juga bekas Dekan Fakulti Perubatan Veterina, Universiti Putra Malaysia (UPM) menegaskan, setiap remaja perlu sentiasa bertanya kepada diri sendiri tentang 'siapa kita sebenarnya, apa yang kita fikirkan dan apa yang kita rasakan.' Tiga soalan itu memberi kemudahan kepada seseorang untuk membuat keputusan supaya akhirnya kelak timbul rasa tanggungjawab dan kesedaran untuk menilai baik dan buruk. "Tiga soalan ini penting sebagai panduan kehidupan untuk lebih bijak buat keputusan dan berfikir dengan mata hati dan keimanan," jelasnya. Dalam aspek ini, Sheikh Omar menyalahkan ibu sebagai pencetus masalah remaja yang terjadi akhir-akhir ini. Ibu bapa seharusnya mengambil berat dan mengambil tahu setiap pergerakan anak-anak dan sentiasa memberi kata-kata dorongan dan semangat untuk mereka menjalani kehidupan lebih baik, katanya.

"Tanggungjawab ibu bapa ini bukan selepas sesuatu kejadian telah berlaku tetapi sebelum ia berlaku. "Banyak ibu bapa hanya menyerahkan bulat-bulat tugas mendidik kepada sekolah. Jangan memberi kemudaratan kepada orang lain tetapi berilah kesejahteraan untuk membina peribadi anak kita," katanya. Sheikh Omar turut menasihati ibu bapa agar tidak memaksa anak-anak terutama apabila ia melibatkan emosi kerana kelak akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. "Jangan memaksa apa-apa yang melibatkan emosi dan jangan tergesa-gesa untuk menyelesaikannya. Berilah masa dan bertindak pada waktu sesuai. "Ibu bapa dan remaja perlu merenung apa sebenarnya erti kehidupan ini dengan membina serta mencari kebahagiaan menerusi pendidikan agama yang sempurna," kata penceramah motivasi itu.

No comments: