Sunday, October 26, 2008

ANTARA JAHIL DAN MISKIN

PADA suatu hari, seorang Muslim yang jahil, yang amat tertarik dengan Barat membuat kunjungan ke sana. Dia mendengar pelbagai kisah kehebatan Barat dan pencapaian mereka, maka adalah munasabah untuknya membuat lawatan ke bahagian dunia tersebut.

Kunjungannya dimulai dengan melawat Jambatan Pintu Emas di San Francisco. Sebaik tiba di San Francisco, dia segera ke jambatan tersebut, untuk meninjau kehebatan binaan dan kecanggihan reka bentuk jambatan. Dia terpegun merenungi kerumitan hasil kerja mereka yang membangunkan jambatan itu. Keasyikannya memerhatikan jambatan tersebut, dan mengagumi binaan dan hasil kerjanya menyebabkan dia tidak menyedari kehadiran seseorang yang dari tadi telah membuat pemerhatian terhadapnya.

Pemerhati di sebelahnya itu adalah seorang warga tempatan, yang rupa-rupanya seorang yang sering melakukan penyamaran dan penipuan terhadap pelancong dan orang asing yang tiba ke daerah tersebut. Maka dia kini bertemu seorang lagi mangsanya. Tanpa membuang masa, si penyamar mendekati si jahil dan memulakan perbualan. Si penyamar memperkenalkan dirinya sebagai polis pelancong. Dalam tempoh yang singkat, perbualan mereka semakin menyerlahkan kejahilan pelancong Muslim tadi terhadap Barat.

Si penyamar bertanya kepada si jahil: “Apa yang anda lakukan di sini?” Si Jahil menjawab: “Saya sedang mengagumi pemandangan indah ini.” Dengan segera si penyamar meningkah: “Aah! Tahukah anda bahawa tiada yang percuma di negara kami? Meskipun kami percaya kepada Tuhan, namun segala yang lain perlu dibayar tunai hatta pemandangan yang sedang anda nikmati. Tapi, oleh kerana ini kesalahan pertama anda, maka saya sudi memaafkan.” Begitu yakin sekali kata- kata si penyamar, mengundang penghargaan dan ucapan terima kasih daripada si jahil.

Menyedari jeratnya sudah mengena, si penyamar bertanyakan: “Apakah sebenarnya yang amat menarik perhatian anda?” “Saya sedang mengagumi Jambatan Pintu Emas yang masyhur itu, terpegun dengan binaannya, dan menghitung bilangan bangau yang terbang melangkauinya,” jawab si jahil itu dengan jujur.

“Aha! Saya bersedia memaafkan kesalahan anda menikmati pemandangan tanpa bayaran, tetapi tidak untuk perbuatan menghitung bangau. Sudah saya jelaskan, bahawa tiada yang percuma di negara kami, maka anda perlulah membayar perbuatan tersebut. Err, berapa ekor bangaukah yang telah anda hitung?" si penyamar melanjutkan tipu dayanya.

Kali ini, si jahil mulai merasai sesuatu yang tidak kena. Setelah berfikir seketika, si jahil menjawab, “dua puluh ekor bangau.” Dengan tersenyum lebar, si penyamar segera menuntut bayaran sebanyak lima dolar untuk setiap ekor bangau. Setelah berlaku sedikit pertelingkahan, si jahil akhirnya akur dan membayar seratus dolar kepada si penyamar.

Peristiwa di jambatan tersebut, berulangkali bermain di benak si jahil sepanjang perjalanan pulangnya. Dia terfikir betapa hebatnya negara barat dan warga mereka, kerana setiap perkara mempunyai nilai pasaran dan perniagaan. Sebaik tiba di tanah airnya, si jahil segera menceritakan pengalaman barunya itu, dan pengajaran yang diperolehnya kepada rakan-rakannya. Kata si jahil: “Orang barat amat cerdik, tetapi saya lebih pintar lagi, kerana semasa polis itu bertanya berapakah bilangan bangau, saya telah menipu dengan hanya mengatakan dua puluh ekor, sedangkan bilangan sebenarnya adalah lebih daripada seratus!”

Saya membawakan kisah ini, kerana ia mengajar kita tiga perkara. Pertama, lelaki Muslim tersebut benar-benar jahil; kedua, kerana kejahilannya maka dia mudah diperdayakan; dan ketiga, oleh kerana kejahilan dan mudahnya mempercayai orang lain, dia menjadi amat lalai atas kejahilan dan kesalahannya, sehingga jika ada yang menegur dan cuba membetulkan keadaan, dia tidak mahu mengakui kejahilan dirinya.

Berbicara

Pada hari ini, ramai yang berbicara mengenai sudut baru pembangunan, dengan pendekatan Islami, sedangkan adalah jelas, bahawa pembangunan ekonomi di dalam ruang lingkup sistem kapitalis adalah begitu asing dan terpisah daripada pandangan alam Islami. Justeru, persoalan yang lebih tepat untuk kita perhatikan adalah ‘apakah yang dimaksudkan dengan pembangunan ekonomi dari kaca mata Islami?’ Persoalan ini menempelak kita, betapa untuk menjawab persoalan ini, kita perlu keluar daripada kejahilan terhadap sistem ekonomi Barat, yang terbina di atas pandangan alam mereka, dan pada masa yang sama berusaha mencerahkan pandangan alam Islami, dengan segala penemuan sains, pemikiran dan tamadun Islami yang lahir daripada pandangan hidup tersebut.

Berapa ramaikah di kalangan kita yang benar-benar menguasai sejarah ekonomi, perniagaan dan perdagangan di Eropah Barat? Para saudagar British, Jerman dan Perancis, semuanya mempunyai peranan masing-masing di dalam penghasilan penulisan ‘ekonomi klasik’, yang juga disebut sebagai mazhab pemikiran ekonomi moden yang pertama, melalui penerbitan karya Adam Smith, Inquiry into the Nature and Causes of the Wealth of Nations pada tahun 1776.
Ahli ekonomi klasik bermunculan menjelaskan mengenai pertumbuhan ekonomi, pada saat kapitalisme membebaskan dirinya daripada feudalisme, dan perindustrian mendatangkan perubahan mendadak kepada masyarakat. Sekali lagi, sejauh manakah bacaan kita terhadap tulisan-tulisan ekonomi klasik dan moden ini? Adakah kita mengenali tokoh-tokoh dari England, Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol, Amerika Syarikat dan sebagianya? Adakah kita mengenali nama-nama seperti Alcala (1543), Davanzati (1638), Diderot & d‘Alembert (kurun ke18), Fisher, Hermann, Isnard, Keynes, List, Marx, Mercado, Mill, Quesnay atau Ricardo?

Bagaimana pula dengan barisan penulis Muslim? Adakah kita pernah mentelaah karya klasik Muslim yang awal, seperti Muhammad ibn Hanafiyya, Aban ibn ‘Uthman, ‘Urwa ibn a-Zubayr, Zuhri, Hasan al-Basri, Mujahid ibn Jabr, Ibrahim Nakhai, Said ibn al- Musayyab, Ma‘bad al-Juhani, Umar ibn Abdulaziz, Wahb ibn Munabbih, Ata ibn Abi Rabah, Hammad ibn Abi Sulayman, Ghaylan al-Dimashqi, Wasil ibn ‘Ata, Ibn Ishaq, Jahm ibn Safwan, Ja‘far al-Sadiq, Ibn Hisham, Hisham ibn al-Hakam, Awza‘i, Abu Hanifa, dan Sufyan al-Thawri. Begitu juga tokoh-tokoh kesarjanaan yang hadir kemudian, terutamanya al-Ghazzali dan Ibn Khaldun, mahupun tokoh sarjana semasa seperti Almarhum Ahmad al-Naggar dan Fazlur Rahman, mahupun hasil karya bapa saya sendiri, Prof Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Alasan yang sering dilontarkan atas kejahilan terhadap tulisan para sarjana di atas adalah karya-karya mereka tidak pragmatik untuk masyarakat moden dan tidak menyentuh persoalan semasa. Sebaliknya, pada hemat saya, karya-karya para sarjana tersebut adalah tidak terikat dengan masa, lantas memerlukan kajian dan pemahaman yang mendalam dan berterusan. Hakikatnya kini, dunia Muslim adalah di dalam keadaan kemiskinan ekonomi berbanding dengan Barat, meskipun dunia Muslim melimpah ruah dengan hasil alam.

Marilah kita bangkit dan keluar daripada kejahilan ini. Janganlah kita menipu diri sendiri dengan menolak kepentingan akal mantiqi, apatah lagi mengatakan agama kita tidak mencerminkan akal fikiran mantiqi. Seseorang yang menerima kejahilan dan menolak kepentingan akal, akan terjebak ke dalam rasuah, kezaliman, kemiskinan dan kesempitan. Sebaliknya, seseorang yang menolak kejahilan dan menerima kepentingan akal mantiqi, akan menyemarakkan keadilan, ketelusan, keamanan dan penyelesaian.

No comments: