Friday, October 31, 2008

SARANG REPTILIA ERA DINOSAUR DITEMUI

WELLINGTON: Satu sarang spesies reptilia dipercayai wujud sejak zaman dinosaur ditemui di kawasan darat New Zealand, penemuan pertama dalam tempoh 200 tahun lalu, kata pihak berkuasa, semalam. Empat biji telur putih bersisik reptilia ‘tuatara’ asli ditemui kakitangan di Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Karori di sini, ketika penyelenggaraan rutin semalam, kata pengurus pemuliharaan Rouen Epson. “Sarangnya ditemui secara tidak sengaja dan ia adalah bukti konkrit pertama yang kami dapati bahawa tuatara itu sedang membiak. Mungkin ada sarang lain di kawasan ini,” katanya lagi. Tuatara, reptilia seperti naga yang boleh membesar sehingga 80 sentimeter, adalah keturunan terakhir spesis yang berjalan bersama dinosaur 225 juta tahun lalu, kata pakar zoologi. Ia mempunyai karektor yang unik seperti dua barisan gigi atas menutupi satu bahagian bawah. Ia juga mempunyai mata yang sama, kelenjar yang sensitif cahaya pada bahagian atas tengkoraknya. Satu tompokan kulit berwarna putih - digelar ‘mata ketiga’ akan hilang secara beransur ketika ia membesar. Spesies asal New Zealand, tuatara hampir pupus di tiga pulau utama negara itu lewat 1700-an berikutan adanya pemangsa seperti tikus. Ia masih hidup di hutan belantara di 32 pulau kecil yang bebas daripada pemangsa itu.
Sebanyak 70 ekor tuatara dihasilkan di Taman Perlindungan Karori pada 2005. Tambahan 130 lagi dibebaskan di taman itu tahun lalu. Taman Perlindungan seluas 250 hektar itu terletak tidak jauh dari pinggir bandar ini, ditubuhkan untuk membiak burung asal, serangga dan haiwan lain terlindung daripada pemangsa. - AP

Thursday, October 30, 2008

HARGANYA RM500 SEKILO











'EIII!!!... geli!' Biasanya itulah respons orang ramai apabila ternampak cacing yang dianggap kotor dan menjijikkan. Tubuhnya yang menggeliat-geliut dan berlendir sudah pasti membuatkan anda hilang selera makan. Bagi kebanyakan orang, cacing jarang sekali tergolong dalam senarai haiwan kesukaan. Jauh sekali menjadikannya binatang peliharaan. Seboleh-bolehnya makhluk ini dijauhi berikutan penampilannya yang tidak menarik. Namun, haiwan invertebrat yang bergelar sebagai ejen penguraian bahan buangan industri untuk dijadikan baja organik, pemusnah sampah organik dan bahan campuran dalam makanan ternakan serta pembuatan kosmetik ini menjadi binatang peliharaan yang membuka lubuk emas bagi Shahadi Mansor.

Lelaki yang berusia 36 tahun ini, merupakan pemilik syarikat Fantastis AGRO yang berpangkalan di Meru, Klang. Membuka bicara mengenai perniagaan cacing yang diusahakan secara komersial bermula Februari tahun lepas ini, Shahadi mengakui ramai yang tidak percaya spesies tersebut boleh diternak dan dijadikan satu bisnes berpotensi besar. "Di Malaysia, cacing sudah dikenali sejak zaman nenek moyang kita apabila digunakan sebagai ubat yang dapat menyembuhkan pelbagai penyakit manakala najis cacing pula boleh digunakan sebagai baja kompos (organik). "Namun, hari ini cacing bukan lagi hidupan yang lazimnya menjadi mainan kaki pancing untuk dijadikan umpan, sebaliknya ia menjadi produk perniagaan yang menguntungkan," katanya yang baru berkecimpung dalam perniagaan ini. GUMPALAN cacing yang akan dimasukkan dipetak yang disediakan dengan campuran batang pisang dan taik lembu untuk melakukan pemprosesan baja porganik. Pemuda yang berasal dari Tanjung Karang ini, terdetik menceburi perniagaan tersebut selepas bertemu bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang juga sahabat lamanya yang berkobar-kobar ingin memulakan perniagaan yang masih mentah di negara ini. Idea bernas tersebut dan pada masa yang sama Shahadi yang sedang mencari perniagaan sambilan, membuatkan mereka mengambil keputusan memulakan perniagaan dengan modal yang kecil.



"Wang simpanan sebanyak RM20,000 digunakan sebagai modal awal untuk membeli bekalan cacing dari Indonesia dengan bantuan seorang rakan yang sekian lama mengusahakan perniagaan ini dengan jayanya. "Saya telah mengimport kira-kira 10 kilogram cacing daripada pembekal di Bandung, Indonesia dengan harga RM450 (1/2 kilogram)," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di pusat ternakan cacing di Persiaran Hamzah Alang, Meru, Klang, baru-baru ini.
UJANG DAHLAN sedang memeriksa kaadan ladang cacing. Malah, ketika beliau memulakan perusahaan itu, ada segelintir pihak yang bersikap negatif dan memandang serong terhadap usahanya itu. "Tetapi keghairahan terhadap bidang agro sejak kecil gara-gara asal usul daripada keluarga petani mendorong saya untuk mencuba perusahaan ini dengan menghadiri kursus ternakan cacing di Kajang selama tiga bulan. "Ilmu yang diperolehi daripada kursus tersebut secara tidak langsung memberi semangat baru untuk membangunkan perniagaan dan mengaplikasikan apa yang diajar seperti kaedah ternakan dan penjagaan cacing untuk mengaut keuntungan yang lumayan," ujar lelaki yang berkhidmat di salah sebuah institusi pengajian tinggi di bandar tersebut.



Melalui syarikatnya Fantastis AGRO, beliau kini menjadi pembekal cacing untuk pasaran luar negara terutama ke Indonesia bagi dijadikan salah satu ramuan dalam produk kosmetik.
Katanya, perkembangan industri kosmetik yang berasaskan cacing ini di bekas tanah jajahan Belanda itu membantu pengusaha-pengusaha di negara ini mengeksport hasil mereka untuk mengaut keuntungan banyak. NAJIS lembu yang direndam sebelum dicampurkan dengan batang pisang. Menurutnya, beliau sendiri tidak menyangka usahanya menternak cacing menjanjikan pendapatan lumayan dengan harga jualan mencecah RM450 hingga RM500 sekilogram (kg) pada harga pasaran. "Setiap kilogram cacing yang diternak akan bertambah menjadi empat kilogram dalam masa dua bulan. "Sebenarnya, cacing yang diternak bukan cacing yang berasal dari negara ini tetapi diimport dari Indonesia atau lebih tepat lagi asalnya dari Australia," jelas Shahadi sambil menunjukkan genre cacing yang terdapat di bangsal miliknya.
Shahadi memberitahu jenis cacing yang diternak adalah cacing merah (Lumbricus Rubellus), cacing harimau (Eisenia Fetida) dan cacing biru dikenali dengan nama saintifiknya iaitu Perionyx excavatus).



"Spesies itu dipilih sebagai ejen pengurai lantaran sifatnya yang lebih agresif berbanding cacing tempatan. Terutamanya cacing merah adalah spesies yang kuat makan. "Ia mampu makan sehingga lapan kali ganda daripada saiz tubuhnya dalam masa sehari," tambah ayah kepada enam orang cahaya mata ini. Seterusnya pengusaha yang turut berminat memelihara tanaman bonsai ini berkata penjagaan cacing tidak sukar kerana cacing tersebut akan diletakkan di dalam satu bekas yang dicampur dengan makanannya iaitu batang pisang yang dipotong dan dicampur dengan najis kambing atau lembu serta sabut kelapa. SHAHADI MANSOR dihadapan ladang cacingnya. Menurutnya, cacing berkenaan tidak perlu diperiksa setiap hari kerana ia tidak mudah mati. "Cuma, apa yang perlu dibuat ialah sentiasa membasahkan cacing dan meletakkannya di tempat yang lembap. "Makanan perlu ditambah seminggu sekali kerana jika habis, cacing akan merayap untuk melepaskan diri," ujar Shahadi yang turut memberi ceramah mengenai penternakan cacing di sekitar kawasan Klang. Beliau berkata, setiap kotak yang diisi cacing perlu ditutup dengan jaring halus bagi mengelak dimasuki musuh perosak seperti semut dan kumbang. Katanya, cacing dewasa boleh membesar sehingga 12 inci panjang dan boleh bertelur sebanyak 48 biji setahun. Baja sahaja RM10,000



SEMENTARA itu, pemilik syarikat Fantastis AGRO, Shahadi Mansor juga melipatgandakan pendapatan melalui perusahaan cacing ini dengan memproses sendiri baja kompos hasil daripada najis cacing. SHAHADI membantu pekerjanya melakukan proses menapis baja secara manual.
Ini kerana najis haiwan ini boleh menyubur tanaman dan sayuran manakala airnya pula digunakan untuk menyubur pohon bunga di halaman rumah. Di kebanyakan negara miskin, rakyatnya tidak mampu membeli baja untuk keperluan aktiviti pertanian yang diusahakan. Justeru mereka menggunakan kaedah lama yang lebih menjimatkan kos untuk menghasilkan baja dengan menjadikan cacing sebagai ejen menguraikan sisa-sisa makanan. “Baja kompos yang dihasilkan mengandungi bahan-bahan buangan seperti najis lembu atau kambing dan sabut kelapa. “Kebaikan kaedah vermiculture (vermikompos atau pengkomposan) yang mengunakan bahan buangan tersebut bukan sekadar memberi kesan positif kepada tanaman-tanaman tetapi juga berupaya mengekalkan tahap keseimbangan alam sekitar,” ujarnya yang mengunakan baja tersebut untuk tanaman cili yang diusahakan di sebelah bangsal itu. Najis cacing yang terdapat dalam palung akan diasingkan dan diayak bersih dengan menggunakan sejenis alat mengayak secara manual sebelum dihantar ke Jabatan Pertanian Kuala Lumpur bagi memeriksa dan menyelidik kandungan bahan kompos dan bahan-bahan lain.



Ujarnya, sejurus selesai pemeriksaan, jabatan berkenaan memberi kebenaran atau pengesahan untuk baja syarikat itu dipasarkan dalam pasaran tempatan bagi penggunaan petani dan pekebun untuk menghasilkan tanaman yang berkualiti tinggi. “Dengan bilangan cacing yang kian meningkat, hasil baja yang dihasilkan juga semakin banyak. Daripada sejumlah satu kg baja kompos yang dihasilkan setiap bulan, kini jumlah tersebut telah mencecah 1 tan baja kompos sebulan. “Ini merupakan satu pencapaian yang memberangsangkan apabila anggaran pendapatan sebulan syarikat juga mencecah sehingga kira-kira RM10,000,” katanya sambil menunjukkan baja-baja kompos yang siap disusun untuk dijual pada para pelanggan.

PELAKU SUMBANG MAHRAM KURUNG IBU SAMPAI MATI

VIENNA - Seorang lelaki yang dituduh melakukan sumbang mahram di Austria, Josef Fritzl (gambar) mengaku bahawa dia mengurung ibunya dalam sebuah bilik yang ditutup dengan batu selama beberapa tahun sehingga meninggal dunia, lapor sebuah akhbar semalam. Josef yang berumur 74 memberitahu seorang ahli psikologi, Dr. Adelheid Kastner, tindakan itu dilakukan bagi membalas dendam terhadap ibunya. "Saya tidak pernah merasa kasih sayang daripadanya. "Dia kerap mendera, memukul saya hingga saya terbaring dengan keadaan berlumuran darah di lantai. "Saya tidak pernah berasa ciuman dan tidak pernah menikmati dakapan ibu saya," katanya. Josef mengurung ibunya dalam sebuah bilik di mana dia dipercayai meninggal dunia pada 1980 selepas tiada seorang pun jiran mereka yang melihatnya selama 21 tahun. Fail-fail majlis perbandaran menunjukkan Josef mewarisi sebuah rumah di Amstetten, Austria pada 1959 kerana ibunya sudah meninggal dunia. Sebelum ini kisah lelaki itu yang merogol anaknya, Elisabeth, 42 sehingga melahirkan tujuh cahaya mata dan mengurung wanita tersebut dalam sebuah bilik kecil selama 24 tahun terbongkar sehingga menyebabkan dia ditangkap pada April lalu. - Agensi

KECELARUAN PEMIKIRAN CINTA REMAJA

Kecelaruan pemikiran cinta remaja
Oleh ZULKIFLI JALIL dan SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM(WARTAWAN UTUSAN)

SUDAH semestinya ucapan penghargaan dan tahniah diberikan kepada Pengerusi Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim kerana berjaya mengembalikan Noor Fadilah Ahmad, 18, ke pangkuan keluarganya. Meskipun tidak ternampak tanda penyesalan di raut wajah gadis itu sebaik sahaja tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Lombok, Indonesia, tengah malam kelmarin, namun usaha dan komitmen Abdul Azeez seharusnya dihargai. Dengan kebolehan perhubungan awam yang baik, mudah mesra dan komited, Abdul Azeez bukan sahaja mencantumkan semula ikatan satu keluarga yang terpisah malah berjaya mengelakkan Noor Fadilah menghadapi dakwaan di mahkamah republik itu yang hukuman menanti dipenjarakan enam tahun atau denda 30 juta rupiah. Mungkinkah Noor Fadilah insan terakhir yang dibawa pulang oleh sekretariat diketuai Abdul Azeez atau pertubuhan- pertubuhan lain yang prihatin dengan nasib anak gadis Malaysia yang dilarikan atau sebenarnya melarikan diri mengikut teman lelaki sama ada ke Indonedia, Pakistan atau negara lain.

Kalau itu telahannya, penyelamatan ini tidak boleh dipersalahkan kerana berapa ramai anak gadis Melayu yang perlu diselamatkan, kos dan risiko yang perlu dihadapi, seperti mana berjaya diredakan Abdul Azeez ketika berdepan dengan tentangan ibu Nasrudin, teman lelaki Noor Fadilah di Lombok. Bagi pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Asmawati Desa, remaja khususnya gadis menganggap cinta seumpama satu 'penghargaan' buat mereka. Jika sebelum ini mereka hanya mengerti tentang cinta kepada ibu bapa dan adik beradik, namun peralihan daripada era kanak-kanak ke alam remaja mengubah tafsiran tersebut. "Bila baligh berlaku, perkembangan seksual pun menyusul. Permulaan baligh bagi anak gadis bermula seawal usia sembilan tahun dan waktu inilah bermula kronologi cinta," katanya kepada Utusan Malaysia. Asmawati mengingatkan, alam remaja begitu mencabar. Proses peniruan berlaku. Dalam aspek ini, ibu bapa berperanan penting untuk menentukan siapa kawan-kawan si anak, jenis majalah yang dibaca dan drama televisyen yang ditonton. "Anak saya mengeluh bila menonton babak si Bawang Putih mempunyai anak luar nikah. Macam mana gadis sebaik itu boleh berperilaku sedemikian.

"Tambah saya terkejut lagi apabila drama ini diulang tayang. Bagi golongan remaja, proses peniruan ini begitu kuat, misalnya Siti Nurhaliza pakai jenis syampu ini, Mawi makan maggi, semua ini akan ditiru," ujar Asmawati yang khuatir dengan kebanjiran drama-drama negara seberang dan Mexico di televisyen Malaysia. Katanya, pergaulan remaja ketika ini cukup menggusarkan. Apa yang dilihatnya sekumpulan remaja yang bercium di khalayak ramai serta melakukan perlakuan tidak senonoh di pub-pub semasa meneruskan pengajian di England pada 1986, sudah menular ke sini. "Anda lihat dalam komuter menghala ke UKM saban hari, pasti akan ada remaja yang berperangai demikian. "Bagi saya peringkat remaja ini seumpama storm dan stress. Pemikiran bercelaru dan terumbang-ambing serta perlukan bimbingan kuat ibu bapa," katanya. Nada sama turut diluahkan oleh Presiden Malaysian Association of Profesional Speakers, Prof. Datuk Dr. Sheikh Omar Sheikh Abdul Rahman bahawa anak muda era ini lebih terarah kepada elemen 'tepuk dada tanya selera'. Yakni, hanya mengikut kehendak dan keseronokan tanpa memikirkan akibat dan kesannya.

"Mereka tidak cerdik untuk buat keputusan sendiri dan tidak ada wawasan. Tepuk dada tanya selera sebenarnya hanya sekadar wake-up call sedangkan mereka perlu melihat dari segi minda, ilmu dan ihsan yang meliputi kebaikan kepada ibu bapa dan alam sekeliling. "Kekuatan dalaman juga penting di samping kekuatan rohani untuk memberi petunjuk arah kepada kehidupan," katanya. Sheikh Omar yang juga bekas Dekan Fakulti Perubatan Veterina, Universiti Putra Malaysia (UPM) menegaskan, setiap remaja perlu sentiasa bertanya kepada diri sendiri tentang 'siapa kita sebenarnya, apa yang kita fikirkan dan apa yang kita rasakan.' Tiga soalan itu memberi kemudahan kepada seseorang untuk membuat keputusan supaya akhirnya kelak timbul rasa tanggungjawab dan kesedaran untuk menilai baik dan buruk. "Tiga soalan ini penting sebagai panduan kehidupan untuk lebih bijak buat keputusan dan berfikir dengan mata hati dan keimanan," jelasnya. Dalam aspek ini, Sheikh Omar menyalahkan ibu sebagai pencetus masalah remaja yang terjadi akhir-akhir ini. Ibu bapa seharusnya mengambil berat dan mengambil tahu setiap pergerakan anak-anak dan sentiasa memberi kata-kata dorongan dan semangat untuk mereka menjalani kehidupan lebih baik, katanya.

"Tanggungjawab ibu bapa ini bukan selepas sesuatu kejadian telah berlaku tetapi sebelum ia berlaku. "Banyak ibu bapa hanya menyerahkan bulat-bulat tugas mendidik kepada sekolah. Jangan memberi kemudaratan kepada orang lain tetapi berilah kesejahteraan untuk membina peribadi anak kita," katanya. Sheikh Omar turut menasihati ibu bapa agar tidak memaksa anak-anak terutama apabila ia melibatkan emosi kerana kelak akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. "Jangan memaksa apa-apa yang melibatkan emosi dan jangan tergesa-gesa untuk menyelesaikannya. Berilah masa dan bertindak pada waktu sesuai. "Ibu bapa dan remaja perlu merenung apa sebenarnya erti kehidupan ini dengan membina serta mencari kebahagiaan menerusi pendidikan agama yang sempurna," kata penceramah motivasi itu.

MENANGANI "GENDER JADIAN"

Menangani 'gender jadian'
Oleh AHMAD ZAKI ISMAIL

ISU kecelaruan gender atau jantina nampaknya menjadi menjadi fokus utama dalam perbincangan umum ketika ini. Ia mungkin lanjutan daripada keputusan Majlis Fatwa dalam persidangannya di Kota Bharu pada 24 Oktober 2008 lalu yang memfatwakan pengharaman tingkah laku pengkid yang agak kerap kedengaran kebelakangan ini. Sebelum ini, golongan gender keliru telah menyembunyikan sifat mereka kerana masyarakat tradisional yang kukuh dengan jati diri dan komitmen agama yang tinggi menekannya daripada terdedah pada khalayak. Kini ia bukan sahaja sudah semakin terdedah tetapi semakin berani ditonjolkan pada khalayak sehingga seakan-akan sudah menjadi trend baru yang menyongsang kepada asal usul manusia yang hakiki.

Meskipun ada yang menilai kumpulan ini secara positif, tetapi dominasi pemikiran liberal berkenaan tidak didokong oleh landasan agama. Malah tidak ada agama yang menghalalkan perbuatan golongan 'tiruan' ini kerana Allah telah melaknat mereka seperti mana yang ditunjukkan dengan jelas dalam al-Quran mengenai kaum Luth yang tercatat pada 85 ayat dalam 12 surah di antaranya surah "Al-Anbiyaa" ayat 74 dan 75, surah "Asy-Syu'ara" ayat 160 sehingga ayat 175 , surah "Hud" ayat 77 sehingga ayat 83 , surah "Al-Qamar" ayat 33 sehingga 39 dan surah "At-Tahrim" ayat 10. Berbeza dengan kumpulan 'jadian', Islam mengiktiraf gender khusus secara alamiah yang disebut sebagai 'khunsa' yang dari bahasa Arabnya bermaksud 'lembut'. Tetapi dalam konteks ini istilah berkenaan ditafsir lebih meluas sebagaimana yang tercatit dalam Kamus Dewan, pondan ialah lelaki yang memiliki sifat perempuan atau sebaliknya (perempuan yg memiliki sifat lelaki). Dalam bahasa Indonesia dinamakan banci atau waria. Oleh itu, pengkid juga termasuk dalam kategori yang sama dengan pondan yakni menyerupai dengan gender yang berbeza.

Menurut syara'; khunsa ialah seseorang yang diragui seksnya (jantinanya) sama ada kedua-dua alat kelamin, tiada langsung atau ada alat kelamin lelaki tapi batinnya perempuan atau sebaliknya. Menurut Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, Fatwa Darul Ifta', ada dua jenis khunsa: khunsa ghayr musykil (khunsa yang senang ditentukan kecenderungan seksnya dan khunsa musykil (yang sukar ditentukan). Jika khunsa yang ghayri musykil, maka status wudhu' dan ibadahnya menyerupai kaum yang ditentukan (sama ada lelaki atau wanita). Jika khunsa itu sudah disahkan perempuan maka batallah wudhu' jika bersentuhan dengannya. Manakala penetapan posisi mereka dalam solat sudah ditetapkan oleh Jumhur yang menyatakan bahawa khunsa mesti berada di barisan ketiga selepas dewasa, kanak-kanak lelaki dan khunsa, selepas itu baru wanita (alMughny, 2/42), berdasarkan hadis umum daripada Abu Daud, Sunan, 1/181.
Psikologi Oleh itu, selain daripada golongan yang disebutkan dan diiktiraf dalam agama dengan alasan lain seperti psikologi, putus cinta, patah hati, desakan sosial, pengaruh kawan serta persekitaran dan sebagainya maka mereka ini sebenarnya adalah kumpulan 'jadi-jadian'.
Kumpulan inilah yang patut diberikan perhatian sewajarnya dan perlu dibanteras supaya tidak menimbulkan kecelakaan kepada peradaban manusia sejagat.

Kelakuan songsang mereka bukan sahaja menimbulkan malapetaka dan penyakit bahkan akan meruntuhkan struktur sosial semula jadi di mana dalam keluarga tidak lagi wujud ibu dan bapa.
Ini tentulah amat membahayakan keturunan serta kesinambungan zuriat yang tidak mungkin terhasil dan berterusan sebab kelahiran anak-anak adalah mustahil hasil hubungan luar tabii ini.
Malangnya, masyarakat masa kini seolah-olah bukan sahaja menghalalkan percambahan kumpulan ini tetapi seperti menggalaknya untuk diterima dan diperakui sebagai sebahagian daripada masyarakat berasaskan prinsip toleransi dan kebebasan hak asasi individu. Sikap inilah yang menyuburkan lagi penularan gejala buruk berkenaan. Sudah tiba masanya kita melihat perkara ini secara serius dan mengambil tindakan bagi membendungnya sebagaimana kita membanteras gejala-gejala negatif seperti dadah, rompak dan lain-lain jenayah. Kerana tindakan kumpulan ini sebenarnya adalah lebih buruk daripada jenayah biasa kerana mereka sebenarnya merupakan penjenayah sosial dan agama yang bakal meruntuhkan struktur ketamadunan manusia di muka bumi ini.

Ada yang menyarankan pendekatan berhemah dengan menggunakan teknik kaunseling dan nasihat dalam menanganinya. Tetapi, tindakan perundangan termasuk menyediakan akta khusus berkaitan tingkah laku ini dan penalti yang setimpal juga mesti diwujudkan. Malah ia amat penting dalam membantu proses penguatkuasaan agar kumpulan ini tidak mudah terlepas apabila tindakan penguatkuasaan ingin dilaksanakan terhadap mereka. Adalah melucukan, malah menyakitkan hati apabila mereka sering terlepas daripada sebarang tindakan kerana tidak wujud sebarang akta khusus yang boleh mensabitkan mereka dengan pelbagai perlakuan termasuk menculik, berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai dan seumpamanya. Dengan itu, mereka ini akan bertindak lebih berani kerana seolah-olah terlepas daripada tindakan dan kalis undang-undang. Kita perlu bersikap lebih adil kepada pihak berkuasa yang seperti tenggelam punca apabila berhadapan dengan situasi tidak diundang bila berhadapan dengan kumpulan ini akibat kekurangan kuasa. Adalah menjadi kewajipan kepada kita semua melengkapkan mereka agar mudah bertindak membendung gejala ini.

Kewujudan akta khusus ini bukan sahaja boleh dijadikan alat bagi membanteras gejala berkenaan, tetapi pada masa yang sama mampu mengekang perkembangan fenomena terbabit dan berupaya mempamerkan kesungguhan kerajaan dalam mengatasinya. Ini turut memberikan amaran, menggerun dan menjauhkan individu lain supaya tidak terjebak dalam arus yang serupa. Masa berpolemik sepatutnya tidak berlanjutan lagi. Ia perlu diterjemahkan dengan tindakan kerana kelihatan dengan jelas bahawa ancaman ini bukan bersifat terpencil lagi. Ia boleh dilihat di mana-mana sahaja, pada sebarang ketika dan boleh menimpa kepada sesiapa sahaja tanpa mengira status pangkat, strata sosial mahupun kedudukan ekonomi, bangsa atau agama.

Ancaman

Semua pihak mesti menunjukkan satu sikap yakni tidak bertolak ansur, membenci, menolak malah menghalang segala tindak tanduk dan ancaman kumpulan penjenayah sosial dan agama ini daripada terus berleluasa. Kita mesti katakan tidak kepada 'gender jadian' yang sudah menjadi barah dalam masyarakat kini. Tindakan serta merta mesti dilaksanakan mengikut kuasa yang sudah sedia ada dimiliki sementara menanti satu akta khusus terhadap golongan ini. Apa sahaja atau di mana sahaja mereka bercambah maka menjadi kewajipan kepada masyarakat yang berada di sekeliling untuk membasmi, mencegah, memantau dan menyalurkan maklumat supaya kita tidak lagi ditimpa musibah dan kemurkaan Allah sebagaimana yang ditimpa kepada kaum Nabi Luth dahulu. Kita khuatir dan takut kerana jikalau ia tidak dicegah secara bersungguh-sungguh dan masih dipandang remeh maka seolah-olah kita meredakan dan menghalalkan perbuatan mungkar yang amat besar dosanya ini.
Maka akan sampai satu ketika bila kita tersedar rupanya sudah terlewat untuk bertindak. Ketika itu tidak ada apa lagi yang mampu dilakukan dan tunggu sahajalah masa kehancuran yang bakal tiba.

Tuesday, October 28, 2008

LELAKI TERGEMUK DI DUNIA TAMATKAN ZAMAN BUJANG


MONTERREY, Mexico 27 Okt. - Lelaki paling gemuk di dunia seperti yang diiktiraf oleh Guinness Book of Records, Manuel Uribe, 43, melangsungkan perkahwinan dengan balu seorang kawan baiknya, semalam. Perkahwinan dengan Claudia Solis itu disiarkan secara langsung menerusi US Discovery Channel yang menggelar majlis tersebut sebagai My Big Fat Mexican Wedding. Tajuk berkenaan diambil sempena tajuk filem AS keluaran 2002, My Big Fat Greek Wedding. Bagaimanapun, Uribe yang berjaya mengurangkan berat sebanyak 230 kilogram berbanding 590 kilogram sebelum ini terpaksa diangkat dengan kren bersama katilnya untuk dibawa ke tempat majlis perkahwinan yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari rumahnya. Majlis perkahwinan Uribe turut mendapat liputan wartawan dari Jepun, Jerman dan Argentina.

Lelaki tersebut menghadapi masalah obesiti yang serius sejak 1992 dan beliau memberitahu, pernah cuba membunuh diri beberapa kali kerana kecewa dengan keadaan dirinya. Uribe dan Solis bertemu buat kali pertama empat tahun lalu. Majlis resepsi Uribe-Solis menyaksikan hidangan kalori rendah apabila tetamu dijamu dengan daging, sup cendawan dan sayur-sayuran bermentega.

PELIHARA MARTABAT BAHASA KEBANGSAAN

HAKIKAT bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub dalam Perlembagaan memang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak sekali pun.
Sebagai bahasa kebangsaan, penggunaan bahasa Malaysia amat dimartabatkan bukan sekadar di peringkat persekolahan malah diusahakan sehingga ke peringkat korporat dan perundangan.
Namun di sebalik usaha bersungguh-sungguh di pihak kerajaan untuk meletakkan bahasa Melayu di tempat yang sepatutnya, ada sahaja cubaan untuk menyanggah, kononnya bahasa lain perlu untuk memberi kefahaman kepada penduduk majoriti di sesuatu kawasan.
Hakikatnya alasan seumpama itu amat menyedihkan dan memalukan. Selepas 51 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan ada lagi kalangan rakyat negara ini yang tidak mahir berbahasa kebangsaan sehingga ke peringkat tidak tahu membaca nama jalan.
Di mana silapnya dasar kita sehingga masih ada kepercayaan sedemikian rupa atau pun terlalu rendahkah nilai bahasa Melayu untuk muncul sebagai bahasa kebangsaan di negara yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu?

Apabila bercakap tentang perjuangan hak asasi manusia kita amat berkiblatkan negara-negara maju. Begitu juga apabila melahirkan kekaguman terhadap penguasaan ilmu, kita begitu terpegun dengan negara seperti Jepun. Malangnya apabila bercakap mengenai bahasa, kita lupa bumi yang dipijak serta langit yang dijunjung. Sebaliknya kita mengutamakan kepentingan serta agenda yang tidak diketahui apa matlamat sebenarnya. Seolah-olah ada kalangan rakyat Malaysia yang keliru akan jati diri serta perkara-perkara yang perlu diberi keutamaan selaras dengan semangat yang telah dipersetujui sejak 51 tahun lalu. Kekeliruan itu semakin terserlah jika dilihat daripada tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan permohonan Majlis Perbandaran negeri itu untuk memasang tanda nama jalan dalam tulisan jawi, Tamil dan Cina bagi tujuan warisan di jalan-jalan tertentu di Georgetown.

Biar pun Perlembagaan tidak menetapkan hukuman kepada mana-mana pihak yang gagal menjunjung semangat yang terkandung dalamnya, namun tindakan seumpama itu jelas menunjukkan bahawa rasa tidak hormat terhadap kitab utama negara kita.
Adakah setiap peruntukan yang digubal mesti ada klausa hukuman baru pihak-pihak yang berkenaan ingin menunjukkan kepatuhan? Mengapa kita tidak menoleh kepada Perancis untuk dijadikan contoh terbaik bagaimana satu bahasa mampu menyatukan berpuluh bangsa. Mengapa kejayaan Perancis meneruskan kehebatan tamadunnya menggunakan bahasa kebangsaan yang tidak dirojak dengan bahasa-bahasa lain penduduk di situ langsung tidak dicemburui oleh rakyat pelbagai kaum di negara kita. Kita tidak tahu bila masyarakat majmuk di Malaysia akan membuka mata, yang pasti tugas memartabatkan bahasa Melayu adalah tanggungjawab semua dan bahasa kebangsaan bukan sekadar perhiasan Perlembagaan.

Sunday, October 26, 2008

KERETA SELAJU 1,000 BATU SEJAM DICIPTA


LONDON - Selepas kejayaan mencipta kereta berkuasa jet roket pada 1997 dengan kelajuan 1,228 kilometer sejam, penyelidik British kini mahu memecah rekod lebih pantas. Kereta terbaru yang dikenali sebagai Bloodhound itu dengan kuasa enjin jet Eurofighter-Typhoo, bakal dipandu pada kelajuan 1,000 batu sejam atau bersamaan dengan 1,610 kilometer sejam.
Konsep kereta tersebut yang lebih pantas daripada tembakan peluru senapang patah sudah dijalankan 18 bulan lalu dan projek itu bakal dilancarkan pada tahun 2011. "Ia mampu memecut daripada sifar kepada 1,690 kilometer sejam dalam masa 40 saat dengan berat badan 12 tan titanium gred tinggi," kata ketua projek, Richard Noble. - Agensi


ANTARA JAHIL DAN MISKIN

PADA suatu hari, seorang Muslim yang jahil, yang amat tertarik dengan Barat membuat kunjungan ke sana. Dia mendengar pelbagai kisah kehebatan Barat dan pencapaian mereka, maka adalah munasabah untuknya membuat lawatan ke bahagian dunia tersebut.

Kunjungannya dimulai dengan melawat Jambatan Pintu Emas di San Francisco. Sebaik tiba di San Francisco, dia segera ke jambatan tersebut, untuk meninjau kehebatan binaan dan kecanggihan reka bentuk jambatan. Dia terpegun merenungi kerumitan hasil kerja mereka yang membangunkan jambatan itu. Keasyikannya memerhatikan jambatan tersebut, dan mengagumi binaan dan hasil kerjanya menyebabkan dia tidak menyedari kehadiran seseorang yang dari tadi telah membuat pemerhatian terhadapnya.

Pemerhati di sebelahnya itu adalah seorang warga tempatan, yang rupa-rupanya seorang yang sering melakukan penyamaran dan penipuan terhadap pelancong dan orang asing yang tiba ke daerah tersebut. Maka dia kini bertemu seorang lagi mangsanya. Tanpa membuang masa, si penyamar mendekati si jahil dan memulakan perbualan. Si penyamar memperkenalkan dirinya sebagai polis pelancong. Dalam tempoh yang singkat, perbualan mereka semakin menyerlahkan kejahilan pelancong Muslim tadi terhadap Barat.

Si penyamar bertanya kepada si jahil: “Apa yang anda lakukan di sini?” Si Jahil menjawab: “Saya sedang mengagumi pemandangan indah ini.” Dengan segera si penyamar meningkah: “Aah! Tahukah anda bahawa tiada yang percuma di negara kami? Meskipun kami percaya kepada Tuhan, namun segala yang lain perlu dibayar tunai hatta pemandangan yang sedang anda nikmati. Tapi, oleh kerana ini kesalahan pertama anda, maka saya sudi memaafkan.” Begitu yakin sekali kata- kata si penyamar, mengundang penghargaan dan ucapan terima kasih daripada si jahil.

Menyedari jeratnya sudah mengena, si penyamar bertanyakan: “Apakah sebenarnya yang amat menarik perhatian anda?” “Saya sedang mengagumi Jambatan Pintu Emas yang masyhur itu, terpegun dengan binaannya, dan menghitung bilangan bangau yang terbang melangkauinya,” jawab si jahil itu dengan jujur.

“Aha! Saya bersedia memaafkan kesalahan anda menikmati pemandangan tanpa bayaran, tetapi tidak untuk perbuatan menghitung bangau. Sudah saya jelaskan, bahawa tiada yang percuma di negara kami, maka anda perlulah membayar perbuatan tersebut. Err, berapa ekor bangaukah yang telah anda hitung?" si penyamar melanjutkan tipu dayanya.

Kali ini, si jahil mulai merasai sesuatu yang tidak kena. Setelah berfikir seketika, si jahil menjawab, “dua puluh ekor bangau.” Dengan tersenyum lebar, si penyamar segera menuntut bayaran sebanyak lima dolar untuk setiap ekor bangau. Setelah berlaku sedikit pertelingkahan, si jahil akhirnya akur dan membayar seratus dolar kepada si penyamar.

Peristiwa di jambatan tersebut, berulangkali bermain di benak si jahil sepanjang perjalanan pulangnya. Dia terfikir betapa hebatnya negara barat dan warga mereka, kerana setiap perkara mempunyai nilai pasaran dan perniagaan. Sebaik tiba di tanah airnya, si jahil segera menceritakan pengalaman barunya itu, dan pengajaran yang diperolehnya kepada rakan-rakannya. Kata si jahil: “Orang barat amat cerdik, tetapi saya lebih pintar lagi, kerana semasa polis itu bertanya berapakah bilangan bangau, saya telah menipu dengan hanya mengatakan dua puluh ekor, sedangkan bilangan sebenarnya adalah lebih daripada seratus!”

Saya membawakan kisah ini, kerana ia mengajar kita tiga perkara. Pertama, lelaki Muslim tersebut benar-benar jahil; kedua, kerana kejahilannya maka dia mudah diperdayakan; dan ketiga, oleh kerana kejahilan dan mudahnya mempercayai orang lain, dia menjadi amat lalai atas kejahilan dan kesalahannya, sehingga jika ada yang menegur dan cuba membetulkan keadaan, dia tidak mahu mengakui kejahilan dirinya.

Berbicara

Pada hari ini, ramai yang berbicara mengenai sudut baru pembangunan, dengan pendekatan Islami, sedangkan adalah jelas, bahawa pembangunan ekonomi di dalam ruang lingkup sistem kapitalis adalah begitu asing dan terpisah daripada pandangan alam Islami. Justeru, persoalan yang lebih tepat untuk kita perhatikan adalah ‘apakah yang dimaksudkan dengan pembangunan ekonomi dari kaca mata Islami?’ Persoalan ini menempelak kita, betapa untuk menjawab persoalan ini, kita perlu keluar daripada kejahilan terhadap sistem ekonomi Barat, yang terbina di atas pandangan alam mereka, dan pada masa yang sama berusaha mencerahkan pandangan alam Islami, dengan segala penemuan sains, pemikiran dan tamadun Islami yang lahir daripada pandangan hidup tersebut.

Berapa ramaikah di kalangan kita yang benar-benar menguasai sejarah ekonomi, perniagaan dan perdagangan di Eropah Barat? Para saudagar British, Jerman dan Perancis, semuanya mempunyai peranan masing-masing di dalam penghasilan penulisan ‘ekonomi klasik’, yang juga disebut sebagai mazhab pemikiran ekonomi moden yang pertama, melalui penerbitan karya Adam Smith, Inquiry into the Nature and Causes of the Wealth of Nations pada tahun 1776.
Ahli ekonomi klasik bermunculan menjelaskan mengenai pertumbuhan ekonomi, pada saat kapitalisme membebaskan dirinya daripada feudalisme, dan perindustrian mendatangkan perubahan mendadak kepada masyarakat. Sekali lagi, sejauh manakah bacaan kita terhadap tulisan-tulisan ekonomi klasik dan moden ini? Adakah kita mengenali tokoh-tokoh dari England, Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol, Amerika Syarikat dan sebagianya? Adakah kita mengenali nama-nama seperti Alcala (1543), Davanzati (1638), Diderot & d‘Alembert (kurun ke18), Fisher, Hermann, Isnard, Keynes, List, Marx, Mercado, Mill, Quesnay atau Ricardo?

Bagaimana pula dengan barisan penulis Muslim? Adakah kita pernah mentelaah karya klasik Muslim yang awal, seperti Muhammad ibn Hanafiyya, Aban ibn ‘Uthman, ‘Urwa ibn a-Zubayr, Zuhri, Hasan al-Basri, Mujahid ibn Jabr, Ibrahim Nakhai, Said ibn al- Musayyab, Ma‘bad al-Juhani, Umar ibn Abdulaziz, Wahb ibn Munabbih, Ata ibn Abi Rabah, Hammad ibn Abi Sulayman, Ghaylan al-Dimashqi, Wasil ibn ‘Ata, Ibn Ishaq, Jahm ibn Safwan, Ja‘far al-Sadiq, Ibn Hisham, Hisham ibn al-Hakam, Awza‘i, Abu Hanifa, dan Sufyan al-Thawri. Begitu juga tokoh-tokoh kesarjanaan yang hadir kemudian, terutamanya al-Ghazzali dan Ibn Khaldun, mahupun tokoh sarjana semasa seperti Almarhum Ahmad al-Naggar dan Fazlur Rahman, mahupun hasil karya bapa saya sendiri, Prof Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Alasan yang sering dilontarkan atas kejahilan terhadap tulisan para sarjana di atas adalah karya-karya mereka tidak pragmatik untuk masyarakat moden dan tidak menyentuh persoalan semasa. Sebaliknya, pada hemat saya, karya-karya para sarjana tersebut adalah tidak terikat dengan masa, lantas memerlukan kajian dan pemahaman yang mendalam dan berterusan. Hakikatnya kini, dunia Muslim adalah di dalam keadaan kemiskinan ekonomi berbanding dengan Barat, meskipun dunia Muslim melimpah ruah dengan hasil alam.

Marilah kita bangkit dan keluar daripada kejahilan ini. Janganlah kita menipu diri sendiri dengan menolak kepentingan akal mantiqi, apatah lagi mengatakan agama kita tidak mencerminkan akal fikiran mantiqi. Seseorang yang menerima kejahilan dan menolak kepentingan akal, akan terjebak ke dalam rasuah, kezaliman, kemiskinan dan kesempitan. Sebaliknya, seseorang yang menolak kejahilan dan menerima kepentingan akal mantiqi, akan menyemarakkan keadilan, ketelusan, keamanan dan penyelesaian.

Monday, October 20, 2008

TENTANG AKU YANG SEBENAR

Macam mana harus aku mulakan nukilan ini untuk menelanjangi diri kepada umum. Aku merupakan seorang lelaki yang dibesarkan di kawasan pedalaman yang jauh dari tempias pembangunan dan serba kekurangan. Aku diberikan pendidikan seperti anak-anak lain walaupun serba ketiadaan. Zaman kanak-kanak aku indah dan ceria kerana hidup dikelilingi hutan belantara yang dihuni jutaan flora dan fauna. Aku tidak kenal KFC mahupun MacD kerana di kawasan aku dibesarkan hanya ada kerepek ubi sebagai menu yang paling sedap untuk dinikmati.