Sunday, December 28, 2008

TIGA PELAJAR PERAS

SUBANG JAYA: Tiga pelajar sekolah mendalangi kegiatan memeras ugut di sebuah pusat beli-belah di Bandar Sunway, di sini, kelmarin.Remaja berusia 15 tahun itu menjadikan mereka seusia sebagai sasaran kegiatan jahat berkenaan.Dalam kejadian jam 2.30 petang, empat pelajar kerugian sejumlah wang dan empat telefon bimbit selepas didatangi kumpulan pelajar nakal terbabit.Seorang daripada ahli kumpulan itu bagaimanapun, diberkas polis tidak lama selepas mangsa membuat laporan.Sumber berkata, dalam kejadian itu, mangsa berusia 14 tahun dan tiga rakannya berada di pusat beli-belah sebelum didatangi tiga lelaki sebaya mereka.
“Kumpulan suspek memberitahu mereka tidak berpuas hati dengan mangsa dan mengajak menyelesaikan masalah itu di luar pusat beli-belah.“Mangsa yang tidak mengesyaki niat sebenar kumpulan lelaki itu mengikut mereka ke satu lorong,” katanya.Beliau berkata, sebaik tiba di lorong sunyi, suspek memaksa mangsa dan rakannya menyerahkan barang berharga.Menurutnya, kumpulan lelaki itu berang selepas mangsa enggan menyerahkan barangan yang diminta lalu mengugut menggunakan kayu.“Pelajar sekolah itu tiada pilihan dan terpaksa menyerahkan empat telefon bimbit dan sejumlah wang.“Mereka terus melarikan diri dan mangsa kemudian membuat laporan polis,” katanya.Sumber itu berkata, sepasukan polis yang menerima laporan daripada mangsa melakukan siasatan dan memberkas seorang suspek di sekitar tempat kejadian tidak lama selepas itu.Katanya, dua lagi suspek dapat memboloskan diri dan mereka kini dikesan bagi membantu siasatan.“Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenai kejadian itu dan seorang remaja berusia 15 tahun ditahan bagi membantu siasatan.“Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui sama ada mereka pernah terbabit dalam kejadian sama sebelum ini,” katanya.Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-89481421 atau balai polis berhampiran.

No comments: